Salam..
Ni cerpen pertama saya yang disiarkan
oleh Tunas Cipta keluaran Februari
Selamat membaca..
WARKAH ELEKTRONIK MILIK GADIS BERSTOKING
OLEH: ZUKI ZULKIFLI
Matahari sudah mula memancarkan haba dan cahaya. Cahaya mentari kurniaan Maha Pencipta meneruskan kerja tanpa ada sedikit kelewatanpun pada hari tersebut untuk memudahkan urusan sang manusia. Embun-embun yang jatuh bertaburan semalam mula tersejat ke udara. Pokok-pokok mula berespirasi, mengimbang jumlah karbon dioksida dan oksigen di udara. Proses fotosintesis telahpun bermula sedetik yang lepas ketika sang suria bertemu dengan pasangannya, sang klorofil.
Nun jauh di sana, kelihatan beberapa orang mahasiswa Universiti Bela Bangsa (UBB) sedang berjogging, melepaskan toksik-toksik yang beracun di dalam badan dan sekaligus maningkatkan keupayaan stamina. Inilah semangat belia yang wajar dicontohi. Bukannya berada di bawah lingkaran gebar yang empuk bermimpikan mimpi yan mengasikkan pagi-pagi hari kala ini.
Jumaat. Kuliah-kuliah para mahasiswa diteruskan seperti biasa. Cuma, jadualnya tidak padat berbanding hari-hari yang lain. Tidak ada lagi deretan manusia berjalan kaki, berlengang lengok ke bilik kuliah dari kolej masing-masing. Tidak lagi kedengaran kebingitan yang dikeluarkan enjin bas sama ada bas milik UBB sendiri ataupun perkhidmatan bas rapidkl. Yang kelihatan beberapa orang siswa berbaju melayu yang telah bersiap sedia untuk menghadiri solat jumaat tengah hari nanti dan beberapa orang siswi yang berpakaian baju kurung sebagai mematuhi peraturan universiti yang menggalakkan pemakaian baju kurung pada hari Jumaat.
Setelah solat subuh kudirikan, aku kembali semula menyambung tidur yang tergendala seketika itu. Alih-alih, jam 8.30 pagi aku bangun. Itupun kerana dikejutkan oleh Zaidi, teman sebilikku. Masa yang singkat itu aku gunakan untuk mengemaskan diri. Untuk memenuhi ilmu di dada, ibuku selalu berpesan agar menyiapkan diri sebaiknya termasuk kesegaran badan. Badan yang segar mampu membantu penyerapan maklumat yang bakal diluahkan oleh para pendidik. Lagipun menjaga personaliti diri itu penting. Lebih-lebih lagi apabila bergelar seorang mahasiswa ataupun mahasiswi.
Sebagai seorang mahasiswa UBB jurusan Sains Komunikasi, tanggungjawab dan komitmen sememangnya dituntut. Tidak kira apa bidang sekalipun, untuk berjaya, perhatian yang tinggi perlu dititikberatkan. Sudah tujuh sem aku berjuang di jalan ALLAH menuntut ilmu jauh daripada desa yang tercinta. Jauh daripada ibu yang tersayang dan juga adik-adikku yang dirindui selalu.
Hampir terlupa pula hari ini merupakan hari agak penting. Pengumuman tugasan terakhir semester ini bakal diumumkan. Debaran di dada makin terasa. Apa tidaknya, tugasan kali ini amat mencabar dan lain daripada yang lain. Jika selama ini, sesuatu tugasan itu dilakukan secara sendirian atau berkumpulan yang biasanya terdiri daripada tiga atau empat orang, tapi kali ini lain pula caranya. Tugasan terpaksa dilakukan secara berpasangan. Dua orang sahaja.
Siapalah gerangan yang bakal menjadi rakan tugasanku kali ini? Malanglah nasib si dia yang berkumpulan dengan orang yang suka buat kerja last minute macam aku ni? Kalau perempuan macam mana pula? Kalau kawan sekelas aku, oklah. Tapi kalau dari kelas lain, gawatlah sikit nampaknya. Bila memikirkannya, kusut juga kepalaku untuk merungkaikannya. Sabar wahai Ahmad Fitri, setiap yang diaturkan pasti ada hikmah di sebaliknya.
Kuliah berjalan seperti biasa. Alhamdulillah, jutaan syukur yang tidak terkira yang tidak mampu dibilang dengan kerlipan bintang di udara kepada Maha Pencipta yang menciptakan alan semesta ini dengan sempurna sekali. Lagi seminit sebelum pukul 9 aku sampai ke kelas tadi. Pensyarah subjek Sosiologi, sudah berada di dewan kuliah pada masa itu, sedang memasang projektornya sambil dibantu oleh mahasiwa lain yang nyata lebih awal hadir daripadaku.
Kuliah selama 2 jam itu tidak membosankan sedikitpun bagiku. Sememangnya aku meminati subjek sosiologi. Sosiologi ini membuatkan aku lebih dekat dengan masyarakat, lebih tahu akan perkembangan budaya yang diwariskan nenek moyang dahulu dan lebih mengenali bangsaku sendiri. Ayat-ayat terakhir Dr. Robiah tadi tiba-tiba membuatkan jantungku tiba-tiba berdebar. Kencang sekali. Oh, oksigen! Aku perlukanmu untuk menampung denyutan yang tidak keruan ini.
“ Kamu semua bolehlah melihat tugasan terakhir semester ini di papan kenyataan di berdekatan bilik saya. Cuma saya nak ingat di sini, hantar tugasan yang saya berikan tepat masanya. Saya tak layan kerja yang melebihi tiga minggu dari tarikh hari ini,” terang Dr. Robiah yang diselitkan dengan amaran berbaur ketegasan itu.
Dr. Robiah sememangnya seorang yang baik hati. Namun dia memang pantang sekali kalau ada pelajarnya mempunyai masalah tingkah laku. Dalam kelembutannya, tersembunyi ketegasan untuk mendidik anak basa. Universiti Bela Bangsa sememangnya diwujudkan untuk membela nasib bangsa dalam bidang pendidikan agar bakal pelapis negara dapat dilahirkan dengan lebih ramai tanpa meminggirkan soal kualiti.
“Jom tengok tugasan terakhir kita,” aku mengajak Zaidi ke papan kenyataan yang dinyatakan sebentar tadi. Ternyata, aku tidak sabar mengetahui siapalah yang bakal digandingkan dengan aku kali ini. Siapapun aku tidak kisah, asalkan sanggup memberikan komitmen mengenai hal ini. Aku masih lagi menantikan reaksi daripada Zaidi.
“Eh, tak sabarnya kau ni. Nantilah dulu, aku rasa ramai lagi orang kat situ. Malas aku nak berasak-asak dengan dia orang,” pinta Zaidi dalam nada memujuk. Ada benarnya juga kata Zaidi itu. Kalau langkah dimulakan sekarang, alamak kena berasak-asaklah nak tengok. Tak baik rasanya sekiranya yang diasak itu adalah kaum Hawa. Biarlah mereka lihat dulu. Sudah puas ditatap bingkisan pengumuman tersebut, pasti mereka beredar juga.
“Oklah kalau macam tu, 15 minit lagi ya?” sambung bicaraku kepadanya.
“Beres, jom kita bincang pasal kuliah tadi, ada beberapa perkara tak faham,” cadang Zaidi. Zaidi sememangnya pelajar yang rajin dan komited. Aku pun hormat dia. Dahlah mukanya kacak, tapi tak pernah berlagak.
Masa yang ada tidak disia-siakan. Segala permasalahan, sebarang ketidakfahaman kami utarakan untuk mendapat penerangan yang lebih yang jelas. Lagipun, teknik belajar sebegini mampu membantu seseorang mengingat sebarang maklumat atau fakta dengan mudah sekali.
Usai berdiskusi, kami mengemas senjata ilmu masing-masing. Lima belas minitpun telah berlalu. Papan kenyataan segera kami tujui. Tugasan terakhir ini perlu disiapkan dengan cepat. Bukannya apa, peperiksaan akhir pun semakin menghampiri. Banyak lagi pelajaran tak diulang kaji. Kalau diewahkan tugasan ini, tak kemanalah keputusan semester ni.
Sampai sahaja di papan kenyataan, aku segera memandang sekeliling. Mencari-cari notis yang dinyatakan sebentar tadi. Oh, di situ rupanya!
“Ahmad Fitri in Marzuki, mana namaku ni,” getusku di dalam hati.
Cari. Cari. Dan aku terus mencari. Memanglah lama untukku mencari satu persatu. Maklumlah 200 orang pelajar yang mengambil jurusan ini. Hanya ketakwaan dan kesabaran di dalam hati menyebabkan aku terus mencari. Mungkin ini juga merupakan kembara syahid yang membawa aku ke jalan yang diredai oleh Maha Pemberi Rahmat. Ar-Rahman.
Alhamdulillah. Jumpa juga akhirnya. Ahmad Fitri B. Marzuki. Umaira Aisyah Bt. Shafii. Tajuk: Hubungan etnik di Malaysia. Tajuk nampak mencabar sahaja. Umaira Aisyah, siapa ya?
“Di, kau kenal tak dengan Umaira Aisyah, budak kelas kau ke,” Tanya aku kepada Zaidi. Walaupun kami berada dalam bidang yang sama, namun kami dipecahkan oleh kelas-kelast tertentu. Tujuannya untuk menfokuskan lagi pelajar dalam jurusan yang diambil.
“Umaira Aisyah? Sape tu? Rasanya aku tak kena.” Balasnya sambil masih lagi tercari-cari namanya. Kalaulah Zaidi tak kenal, aku lagilah tak kenal. Zaidi tu lebih banyak mulutnya daripadaku. Semua perempuan kelas aku dikenalnya. Siap soal selidik pula. Aku? Lebih suka mendengar dari bercakap.
Umaira Aisyah. Siapakah gerangan empunya nama? Masih lagi berteka-teki dalam mindaku. Masih lagi tidak hilang dalam kotak fikiranku. Masih lagi jelas ejaan namanya pada pandangan mataku. Masih lagi menanti untuk melihat si empunya nama.
“Assalamualaikum, awak Ahmad Fitrikan?” sapa seorang perempuan yang tidak ku kenali. Perempuan itu berbaju kurung berwarna biru muda dan berkerudung hitam.
“Waalaikumussalam. Ya, saya. Ada apa?” Aku menjawab salamnya. Jauh di rongga-rongga kapasiti otakku tertanya-tanya tujuan sebenar perempuan itu yang berkulit kuning langsat, berdahi licin dan bermulut manis.
“Saya, Umaira Aisyah, yang akan sama-sama menyiapkan projek terakhir semester ini.” Bicaranya disambung dengan suara halus. Sungguh sekali dia menjaga tutur percakapannya. Di tepinya, kelihatan seorang perempuan yang bertindak sebagai pemerhati. Pada firasatku, itu mungkin temannya. Nampaknya, Umaira Aisyah merupakan seorang yang menjaga adab susila sebagai kaum hawa yang merupakan sebaik-baik dan secantik-cantik perhiasan di bumi ini yang bakal menemani khalifah.
“Oh, awaklah. Bila kita dapat bertemu untuk berbincang mengenai projek kita?” Aku ajukan pertanyaan yang sudah bersarang selama beberapa hari ini. Lagipun semangatku masih lagi membara. Tugasan yang terakhir. Insya-ALLAH, aku akan melaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Pasal tu, ni emel saya, segala perbincangan dan perkembangan tugasan ini kita bolehlah selesaikan melalui emel,” balasnya dengan penuh kelembutan sambil menghulur secarik kertas. Suaranya yang bersopan itu seolah-oleh dialah wanita Melayu terakhir pada abad ini. Aku menatap kertas itu.
Umaira Aisyah Bt. Shafii
umai_isyah@yahoo.com
“Ok, ini emel saya,” segera saja aku menulis emelku di kertas yang diberikan kepadaku. Bierbincang melalui emel sahaja? Boleh tahan idea dia. Mungkin boleh mengelakkan fitnah. Belajar berdua-duaan sememangnya tidak manis dipandang orang malah tidak digalakkan oleh agama Islam kerana dikhuatiri menimbulkan fitnah di mulut manusia yang pelbagai karenah dan beragam. Kertas yang diberikannya bertukar tangan. Satu dikembalikan, satu lagi disimpan. Kertas yang sudah berada ditangannya tertera emelku.
Fitri
ahmad_fit3@yahoo.com
Umaira Aisyah. Namamu indah seindah wajahmu. Tutur bicaramu, tingkah lakumu, intonasi suaramu dan senyuman dibibirmu cukup membuatkan jantung mana-mana lelaki berdegup deras seperti derasnya aliran air sungai di hulu sungai. Mampu membuatkan fikiran hanyut terawang-awangan hilang dalam kebiruan langit yang melitupi alam ini. Mampu membuatkan jaga seorang teruna hanya dibayangi sebentuk senyuman yang terlakar dibibir manismu. Mampu membuatkan tidur seorang jejaka hanya bermimpikan keindahan wajahmu kurniaan Tuhan yang Maha mencipta. Sungguh tiada siapa lagi dapat menandingi kecantikan dalaman dan luaranmu. Sungguh bertuah sesiapa yang mampu menjadi raja yang bertakhta di dalam hatimu yang penuh ketelusan dan kejujuran. Sungguh bernasib baiklah khalifah yang bakal menakluk sebuah cinta kudus milik insan yang bergelar Umaira Aisyah. Sungguh beruntung bakal nakhoda yang bakal mengemudi pelayaran bersama denganmu.
Tugasan yang bertajuk hubungan etnik di Malaysia sudah berada di tahap yang terakhir. Hanya perlu disunting, diubah suai bahasanya sebelum dihantar kepada hakim yang bakal menjatuhkan hukuman sekaligus meletakkan markah dan gred mengikut budi bicaranya. Hakim kali ini bukan calang-calang orangnya. Siapa yang tidak kenal dengan Dr. Robiah yang sangat teliti dalam penelitiannya.
Sepanjang bekerjasama dengan Umaira Aisyah, aku merasakan terlalu mudah untukku menyiapkan projek ini. Idea-ideanya yang bernas dan buah fikiran yang idealistik dan matang membantu ke arah penghasilan tugas yang baik dan sebelum masa penghantarannya. Bahasanya yang indah serta berhalus menjadikan aku senang sahaja untuk berbalas emel dengannya.
Dia juga cukup bijak dalam membahagikan tugas. Mungkin tajuk kali ini cukup luas untuk dibincangkan. Maka pembahagian kerja amat penting dalam melaksanakan projek ini. Hasil kerjaku dinilai olehnya. Hasil kerjanya hebat dikritik olehku. Namun ada sedikit kekaguman terbit dari dasar lubuk hatiku. Walaupun kadang kala aku memberikan pandangan yang kontra dengan pandangannya, dia akan berfikir untuk menilai yang mana lebih baik. Pandangan yang lebih baik yang aku utarakan akan diambilnya untuk dijadikan bahan dalam tugasan ini. Malah kami juga berusaha memperbaiki kelemahan masing-masing dengan pembahagian kerja yang dilakukan.
Kami juga ibarat aur dengan tebing. Sekiranya seseorang di antara kami tidak beberapa arif mengenai etnik tertentu, kami akan cuba bertanya sesame sendiri untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas. Sekiranya kami berdua tidak tahu, kami akan merujuknya dengan perpustakaan sider alaf ini iaitu internet dan berkunjung ke Perpustakaan Tuk Janggut, perpustakaan milik sepenuhnya UBB.
Begitulah strategi yang kami gunakan, strategi yang diusulkan oleh insan semulia Siti Aishah, serikandi Rasulullah yang melakarkan sejarah dalam tamadun Islam zaman pemerintahan rasul yang terakhir itu. Insan setabah Masyitah, tukang sikap anak Firaun yang tenggelam di lautan Mati bersama-sama dengan pengikutnya yang jauh lari dari ajaran Nabi Musa yang menyeru menyembah ALLAH Yang Esa.
Akhirnya, tugasan dalam bentuk folio itu siap dengan rasminya. 3 hari sebelum tarikh luputnya. Alhamdulillah. Itulah ucapan agung yang mampu aku lafazkan apabila beban yang digalas terlaksana dengan sebaiknya. Sepanjang bergelar mahasiswa, tugasan kali ini merupakan tugasan yang terbaik. Dari segi pendokumentasian, isi dan fakta, lenggok bahasa semuanya luar biasa. Luar biasa sungguh bekerjasama dengan insan itu.
Berakhirnya tugasan maka mungkin sepilah nama yang selama ini memenuhi kotak emelku. Berakhirlah warkah elektronik daripada insan kamil dekad ini. Semasa menghantar folio tersebut kepadanya di dewan selera tadi, ada peristiwa yang mungkin lucu jika diketahui oleh teman sibikku, Zaidi. Aku yang keseorangan kerana Zaidi mempunyai perjumpaan dengan kumpulan Nasyid yang bakal membuat persembahan sempena pelancaran kempen Sayangi Bumi peringkat universiti.
Sedang aku menghampiri Umaira, kakiku tiba-tiba tersadung kerusi yang tidak nampak pada pandangan mata kasarku. Lalu, majalah Al-Islam yang dibeli semasa dalam perjalan itu terjatuh. Nasib baik, folio kami dipegang ketap olehku.
Segera aku mengambil majalah yang terjatuh itu. Tiba-tiba mindaku berasak dengan satu persoalan. Lalu dikerlingnya pada kaki Umaira Aisyah. Memang sahihlah Umaira Aisyah merupakan wanita mulia seperti Siti Fatimah, cahaya mata Rasulullah yang sama-sama berganding bahu dengan ayahandanya dalam menegakkan perjuangan agama Islam agama yang diredai oleh-Nya.
Umaira Aisyah. Gadis berstoking. Dipakainya stoking pada kaki yang berdebu yang beralaskan selipar merah. Gadis yang menjadikan syariat sebagai pegangan utama. Al-Quran sebagai kitab rujukan terulung. Nabi Muhammad sebagai penyampai risalah kebenaran. ALLAH sebagai pencipta yang agung.
Pengajianku bakal tamat beberapa bulan lagi. Pasti aku akan menggengam segulung ijazah. Membuatku ibuku tersenyum gembira melihat anak sulung. Membuatkan adikku berasa bangga dan turut menjejaki langkah sepertiku. Namun, masih ada satu lagi misi yang belum selesai. Misi yang penting dalam rencana hidupku.
Lalu, aku menghadap skrin jernih di depan. Ditaip satu persatu butir perkataan untuk menjelaskan rasa yang terbuku di hati sejak sekelian lamanya.
Assalamualikum Umaira Aisyah..
Maafkan sekiranya warkahku ini mengganggu konsentrasimu kepada ilmu-ilmu ALLAH yang sedang engkau dalami. Umaira, pertama kali kita berjumpa, namamu sudah terpahat dalam sukma hatiku. Kelembutan, keayuan, kesopanan, dan ketulusanmu mengetuk tangkal jantungku. Aku cuba untuk menidakkan perasaan yang hadir kerana kusedar bahawa kita sedang dalam kembara, untuk mengutip seberapa banyak ilmu yang terbentang untuk bekalan kemudian hari. Namun siapalah aku untuk menolak rasa cinta oleh Dia yang Maha Pemberi? Yang mencampakkan rasa cinta di hati. Terbuka buatmu sorang, walaupun sudah ramai yang cuba mengetuknya. Insya-ALLAH, keluargaku akan datang bertandang ke rumahmu, untuk menyunting keikhlasanmu buat menemani perjalanan hidupku setelah kita menamatkan pengajian kita nanti. Maka, ingin sekali aku bertanya pendapatmu mengenai hal ini. Adakah aku diterima untuk menjadi pengarah dalam drama suka duka hidupmu? Diterima untuk menjadi peneman di sisi dalam pemanduan kehidupan fatamorgana ini? Berikanlah kata putus agar aku bisa memadamkan resah di hati. Aku tahu jawapanmu pastilah yang terbaik. Apa-apapun kesudahannya, aku terima dengan reda kerana ku mengerti setiap yang berlaku pasti terselit seribu satu hikmah.
Salam persahabatan,
Fitri.
Selang dua hari, aku membuka peti emelku. Dua hari ini jugalah yang banyak menyeksakan batinku. Ada khabar yang mampu membuatku ketawa atau berduka. Namun aku terima suratan takdir seadanya. Lalu segera kubaca warkah elektronik kiriman si dia dengan hati yang penuh debaran
Waalaikumussalam Ahmad Fitri,
Maaf sekiranya lambat membalas emel saudara. Pertanyaan saudara sememangnya amat berat untuk saya jawab. Fitri, setelah istikharah kukerjakan, setelah doa kupanjat dan setelah perbincangan dengan keluargaku diutamakan, maka aku menerima takdir Illahi seadanya seandainya kau tercipta untukku.Kalau itu takdir-Nya, aku terima. Aku terima dengan reda yang engkau bakal menjadi ayah kepada anak-anak yang akan kukandung kelak. Bakal pengarah kepada jalan cerita drama yang bakal kita pentaskan di duniawi ini. Bakal berada di sisimu dalam pemanduan hidup yang mencabar ini.Terima kasih kerana memilihku yang mempunyai pelbagai kekurangan ini. Aku pasti, pegangan agamamu dan ketinggian akhlakmu bakal membimbing aku ke jalan yang diredai-Nya. Semoga rasa cinta yang dikurniakan oleh ALLAH ini mampu meningkatkan lagi rasa cinta kepada yang Maha Pemberi. Diharapkan agar tulisan ini menjelaskan segala-galanya. Aku akan menantikan lamaran berbaur syurga daripadamu.
Salam ukhuwwah
Umaira Aisyah
Setelah warkah itu dihayatinya, ada mutiara jernih yang mengalir. Mutiara lambang kegembiraan. Umaira, aku pasti akan membahagiakanmu. Aku yakin. Pasti. Noktah.
No comments:
Post a Comment